Tuesday, May 5, 2009

BERITA BAIK - EKONOMI KIAN PULIH

Pasaran lepasi 1,000 mata

PELABUR melihat papan penanda aras IKKL yang menunjukkan kenaikan sehingga ke paras melebihi 1,000 mata, semalam.

KUALA LUMPUR 4 Mei - Pasaran saham tempatan yang melepasi paras 1,000 mata buat kali pertama hari ini sejak tujuh bulan lalu, mampu melonjak ke paras 1,118 mata untuk tempoh terdekat.Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) hari ini ditutup pada paras 1,009.36, naik 18.62 mata atau 1.84 peratus.Pengarah Bersekutu OSK Research Sdn. Bhd., Chris Ng berkata: "Dari tinjauan pasaran yang kami lakukan, mata IKKL diunjur berlegar antara 960 hingga 1,040 mata pada bulan Mei ini."Difahamkan peningkatan IKKL sehingga paras 1,118 boleh berlaku selepas pasaran melalui proses pembetulan yang bakal menyaksikan harga jatuh sebelum meningkat semula.

Ng ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini berkata, beliau melihat peningkatan semasa itu sebagai satu tanda positif selepas masyarakat pelabur sebelum ini agak kritikal dengan perkembangan ekonomi Malaysia.Katanya, faktor sentimen positif turut memainkan peranan kepada peningkatan IKKL dan menjangkakan indeks akan berada melebihi 1,000 mata pada bulan ini.Ujarnya, saham-saham mewah akan terus menjadi tumpuan pelabur walaupun berlaku penjualan saham bermodal kecil pada pertengahan bulan ini.Pengarah Eksekutif Jupiter Securities Sdn. Bhd., Nazzary Rosli turut mengakui prestasi IKKL juga didorong oleh khabar positif pasaran saham Amerika Syarikat (AS) yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan.''Pasaran saham negara itu kini mulai kembali stabil dan setakat ini, tiada sebarang berita negatif dilihat muncul dalam tempoh masa terdekat. Ini sekali gus memulihkan semula sentimen pelabur di AS dan juga Asia.''Bagi pelabur tempatan pula, keyakinan mereka mula pulih apabila berlaku peralihan kuasa dalam tampuk pentadbiran negara. Melalui pengumuman dan pengenalan dasar baru, Perdana Menteri yang baru telah menjanjikan perubahan kepada ekonomi negara,'' katanya.Tambah Nazzary, sejak Datuk Seri Najib Tun Razak memegang terajui, pasaran saham tempatan dilihat juga mengalami kenaikan ekoran perubahan yang dilakukan beliau termasuk dasar liberalisasi yang diumumkan baru-baru ini.Sementara itu,

Penganalisis Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd., Koay Yi Chuan berkata, walaupun IKKL melepasi paras 1,000 mata, paras itu tidak akan kekal, sebaliknya akan berlaku pembetulan.''Pembetulan pasaran itu bakal menyaksikan berlakunya sedikit kejatuhan sebelum pasaran saham mula naik semula. Namun tidak dapat dipastikan bila ia akan berlaku.''Selain itu, sebarang berita tentang selesema babi (virus H1N1) yang melanda dunia ketika ini, juga dilihat mempengaruhi sentimen pelabur kerana mereka akan lebih berhati-hati akibat bimbang pasaran akan terjejas,'' katanya.Yi Chuan berkata, langkah kerajaan yang memperkenalkan liberalisasi dalam beberapa sektor telah menggalakkan pelabur asing datang melabur di pasaran tempatan yang secara langsung membantu meningkatkan sentimen pasaran.

No comments: